Sukan

Saya tidak mahu lepaskan peluang ini

Pertahanan muda Terengganu FC (TFC), Muhammad Azam Azmi Murad, berazam membalas kepercayaan ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun kebangsaan (B-23), Brad Maloney sekiranya disenaraikan.

Pertahanan berusia 20 tahun itu sedang menjalani kem latihan fasa 2 bermula pada 4 Oktober lalu sebagai persiapan menjelang saingan Kumpulan J, kelayakan Piala Asia B-23 hujung bulan ini.

Selain Azam, seorang lagi pemain TFC, Nik Akif Syahiran Nik Mat serta tiga pemain skuad ‘adik’, Terengganu FC II (TFC II) iaitu penjaga gol, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin, Syafik Ismail dan Hairiey Hakim Mamat turut terpilih menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.

Ini panggilan kali ketiga mewakili skuad kebangsaan bermula B-19. Jadi sudah tentu saya tidak mahu melepaskan peluang terbaik ini untuk terus menyarung jersi skuad negara.

Bagaimanapun saya akui bukan mudah untuk merebut slot berkenaan kerana pesaing sudah pasti mengidam perkara yang sama untuk menggalas tugas negara pada aksi kelayakan itu nanti.

“Jadi, saya tiada pilihan melainkan perlu bekerja lebih keras lagi untuk merebut posisi itu biarpun sebelum ini pernah beraksi bersama skuad B-19 kebangsaan,” katanya ketika dihubungi.

Azam yang pernah mel3dak tiga gol pada pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Kemboja pada 2019 adalah antara tonggak skuad Penyu apabila kerap diturunkan dalam kesebelasan utama.

“Pengalaman yang dikutip ketika beraksi dalam saingan Liga Super sejak tahun lalu ditambah pula kerap kali diturunkan dalam kesebelasan utama musim ini bakal menambah lagi keyakinan saya untuk membantu pasukan negara sekiranya dipilih,” kata bekas murid Sekolah Kebangsaan Tok Jembal, Kuala Nerus itu.

Skuad akhir B-23 pemain bakal terbang ke Ulaanbaatar, Mongolia pada 20 Oktober ini sebelum turun men3ntang Laos pada 25 Oktober diikuti tuan rumah, Mongolia tiga hari kemudian. Aksi terakhir bertemu Thailand pada 31 Oktober ini bagi merebut tempat ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Uzbekistan pada Jun 2022.