Sukan

Zainal Abidin mahu jadi yang pertama

Ketua jurulatih Melaka United FC, Zainal Abidin Hassan mahu menjadi pengendali pertama membawa pasukan itu ke pentas final Piala Malaysia musim ini.

Malah, sempena ulang tahun ke-100 Piala Malaysia, bekas pengendali Selangor dan Pahang itu enggan terlepas peluang mencipta sejarah baharu bersama Melaka United untuk ke final buat kali pertama memandangkan pencapaian terbaik skuad itu dalam saingan berprestij ini hanyalah di suku akhir sahaja.

Dengan dua kemenangan diraih dalam aksi Kumpulan C ketika ini membuktikan juara Liga Perdana 2016 ini cukup serius untuk mencipta kejutan walaupun mereka bergelut dalam saingan Liga Super apabila hanya menduduki tangga kelapan liga secara keseluruhan.

Zainal yang sudah memenangi Piala Malaysia sebanyak enam kali sebagai pemain pada era 80-an dan 90-an mengakui kejohanan ini cukup memberi seribu makna buat dirinya dan kini selaku jurulatih, beliau mahu merasai kembali kejuaraan selepas kali terakhir berjaya membimbing pasukan memenangi kejohanan ini pada musim 2014 bersama Pahang.

Memang Piala Malaysia ini menjadi idaman semua pemain dan setiap jurulatih, semua orang mengidamkan untuk berada di pentas final kerana ini adalah piala terakhir untuk dimenangi pada setiap musim, lagi-lagi bersempena ulang tahun ke-100.

Tetapi paling saya tidak boleh lupa adalah ketika saya berjaya bawa Pahang menjadi juara tewaskan JDT (Johor Darul Ta’zim), kami menang dengan sepakan penalti, jadi, kemeriahan ketika itu memang seronok dan sebagai jurulatih, saya amat berbangga.

“Sekarang, saya tidak nafikan niat saya memang untuk membuat sejarah itu bersama Melaka United pula dan mereka pula tidak pernah lagi beraksi sehingga ke final, jadi saya akan cuba sedaya upaya untuk membawa sejauh mana Melaka United akan dapat pergi dalam saingan ini,” katanya.

Menjelang perlawanan ketiga Piala Malaysia yang akan kembali bersambung pada 29 Oktober ini, Zainal mengesahkan pemain tengah, Ahmad Syamim Yahya yang sebelum ini dibelenggu kecederaan sejak Julai lalu akan kembali beraksi.

Beliau menyifatkan kehadiran semula pemain berusia 31 tahun itu akan dapat memperkuatkan lagi pasukan memandangkan Gary Steven Robbat dilaporkan perlu berehat panjang susulan kec3deraan buku lali sekali gus terlepas peluang beraksi dalam baki saingan Piala Malaysia.

Melaka United ketika ini mengumpul enam mata dalam Kumpulan C selepas menang dalam dua perlawanan terdahulu manakala Kedah Darul Aman FC dan Negeri Sembilan FC masing-masing mengumpul tiga mata selain Kelantan United FC masih belum mencapai kemenangan setakat ini.