Sukan

JDT akhirnya putuskan status terkini Shane Lowry

Penampilan konsisten ketika bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super dan Liga Juara-Juara Asia (ACL), memikat hati pengurusan kelab Harimau Selatan untuk menyambung kontrak Shane Lowry selama dua tahun lagi sehingga 2023.

Sebelum ini, pemain kelahiran Perth, Australia itu hanya mengikat kontrak selama enam bulan yang akan berakhir pertengahan bulan ini, tetapi corak permainan baik ditonjolkan bekas pemain Al-Ahli yang berpangkalan di Doha Qatar itu membantu JDT mengekalkan kejuaraan Liga Super lapan musim berturut-turut.

Lowry jelas teruja apabila ditawar sambungan kontrak dan bertekad membantu JDT merangkul Piala Malaysia pula.

Saya rasa amat bertuah kerana penampilan pada bulan Mei sehingga kini, berjaya membantu JDT memenangi kejuaraan liga untuk lapan musim berturut-turut.

“Tumpuan kini terarah Piala Malaysia dan saya akan beri yang terbaik kerana JDT adalah juara 2019 dan saya difahamkan musim lalu piala itu tidak dipertandingkan akibat pand3mik C0VID-19,” kata Lowry pada majlis ringkas menandatangani sambungan kontrak yang turut dihadiri Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards dan ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora di ibu pejabat JDT di sini, hari ini.

Sementara itu, Mora juga berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan Lowry apabila diturunkan dalam kesebelasan utama terutama pada enam baki aksi terakhir liga selepas pemain itu membentuk gandingan mantap di posisi pertahanan bagi memastikan JDT tidak tewas.

Seperti yang Shane katakan kami beraksi sebagai satu pasukan untuk memastikan kemenangan dan saya tidak gemar memuji individu tertentu.

Namun, keseluruhan dia memiliki ciri-ciri pemain pertahanan yang JDT inginkan dari aspek teknikal dan taktikal kerana kelebihan kaki kirinya amat diperlukan di posisi berkenaan.

“Malah ketika saingan ACL, baru-baru ini dia jarang beraksi dalam perlawanan kompetitif selama dua bulan tapi dia mampu beri persembahan terbaik sepanjang saingan itu,” kata Mora.