Sukan

Lapan Pemain digugurkan

LAPAN pemain digugurkan manakala lima muka baharu dipanggil menyertai kem latihan pusat Fasa 2 skuad Bawah 20 Tahun (B-20) kebangsaan menjelang saingan Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) di Ulaanbaatar, Mongolia hujung bulan depan.

Ia sekali gus melengkapkan senarai 25 pemain yang bakal diuji Ketua Jurulatih skuad B-20 negara Brad Maloney dalam mencari kombinasi pasukan terbaik, sebelum memuktamadkan 23 pemain yang akan dibawa menghadapi kempen kelayakan yang dijadual bermula dari 25 hingga 31 Oktober.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan lima pemain dipanggil itu adalah dua pemain Selangor FC 2, Ahmad Zikri Mohd Khalili dan Muhammad Aidil Azuan; dua pemain Terengganu FC, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Muhammad Azam Azmi Murad; serta pemain Petaling Jaya City FC, K Thivandaran.

Pada masa sama, antara 16 pemain yang dikekalkan adalah pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) II Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin (Terengganu FC II), Muhammad Azri Ab Ghani (Perak FC) dan Azhad Harraz Arman dari Skuad Projek FAM-MSN.

“Skuad kendalian Maloney akan menjalani latihan pusat Fasa 2 di Padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, sebelum skuad akhir 23 pemain dijadual terbang ke Mongolia pada 20 Oktober,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan senarai akhir skuad akan turut menampilkan empat pemain kebangsaan iaitu Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC), Muhammad Hakimi Abdullah (Terengganu FC), Quentin Cheng (Penang FC) dan pemain KV Kortrijk Luqman Hakim Shamsudin.

Keempat-empat pemain itu dijangka menyertai skuad B-20 negara setelah selesai tugas bersama skuad kebangsaan di bawah bimbingan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe bagi dua aksi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Jordan pada 6 Oktober dan Uzbekistan (9 Oktober).

sumber:- SH

Bagi saingan Kelayakan Piala Asia B-23 2022, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan J akan bertemu Laos pada 25 Oktober diikuti aksi menentang pasukan tuan rumah Mongolia pada 28 Oktober dan menamatkan aksi terakhir berdepan Thailand pada 31 Oktober. – Bernama