Sukan

Terengganu FC tepati ramalan

Skuad Liga Super, Terengganu FC (TFC) bermula langkah kanan selepas menundukkan pasukan Liga Perdana, Kuching City FC (KCFC) 2-0 pada aksi pertama Kumpulan B saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam ini.

Pertemuan itu dilihat menarik kerana pertembungan strategi antara guru, Irfan Bakti Abu Salim yang mengemudi KCFC men3ntang bekas muridnya, Nafuzi Zain yang membimbing TFC.

Tuan rumah yang menyenaraikan penyerang pasukan ‘adik’, Terengganu FC II (TFC II), Jordan Mintah terlebih dahulu mencemaskan kubu pelawat pada minit kesembilan apabila tandukan terbang pemain tengah, Makan Konate hasil sepakan percuma Lee Tuck terkena tiang gol sebelah kanan sekali gus terselamat gawang skuad The Cats.

Skuad Penyu yang melakukan rombakan kecil memperolehi peluang kedua menerusi hantaran menarik Faisal Halim yang mencari striker, Mintah dalam kotak penalti, namun pemain itu dijatuhkan penjaga gol, Wan Azraie Wan Teh memaksa pengadil menghadiahkan sepakan penalti.

Tuck yang ditugaskan untuk mengambil sepakan itu gagal menewaskan Wan Azraie selepas bola sepakannya terkena kaki penjaga gol itu.

Bagaimanapun pengadil, Ahmad Zuhaidi Dzulkifli menyalahkan penjaga gol kelahiran Terengganu itu selepas dikesan terlebih awal bergerak ke depan sebelum sepakan semula dilakukan Tuck.

Sepakan kedua diambil pemain berdarah kacukan England-Malaysia itu pada minit ke-22 akhirnya menerjah jaring walaupun berjaya ditepis penjaga gol untuk TFC mendahului 1-0.

Sepanjang babak pertama, skuad The Cats hanya memperoleh satu percubaan bahaya menerusi rembatan padu pemain tengah, Diego Baggio pada minit ke-44 yang berjaya dikeluarkan penjaga gol, Suhaimi Husin.

Bersambung babak kedua, skuad Penyu tidak menunggu lama untuk menambah jaringan kedua menerusi Faisal berpunca daripada sepakan sudut Tuck yang singgah di kepala Konate dan bola muntah daripada dakapan bekas penjaga gol TFC itu disambar pemain kelahiran Pulau Pinang pada minit ke-48 untuk mengukuhkan kedudukan 2-0.

TFC berpeluang untuk menambah jaringan ketiga menerusi Mintah pada minit ke-57, tapi percubaan pemain kelahiran Ghana itu dalam kotak penalti berjaya dibaca penjaga gol.

sumber:- HM

Memasuki pertengahan babak kedua, Nafuzi memasukkan striker, David Da Silva bagi menggantikan Mintah, namun pemain kelahiran Brazil itu gagal menambah jaringan dan kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat perlawanan dengan TFC mendahului carta Kumpulan B diikuti Selangor FC, Perak FC dan KCFC.