Jangan anggap kami pasukan ‘lauk’. Itu amaran pengendali Kelantan United FC, Nazrulerwan Makmor kepada pesaingnya dalam Kumpulan C saingan Piala Malaysia iaitu Kedah Darul Aman FC, Melaka United FC dan juara Liga Perdana, Negeri Sembilan FC selepas skuad Kijang Hijau menempah slot terakhir beraksi di pentas piala berprestij.

Katanya, selepas terpaksa dikuarant!n selama 10 hari dan tidak dibekalkan dengan latihan yang mencukupi malah perlu mengharungi dua perlawanan getir sehingga layak ke saingan Piala Malaysia sudah tentu ia pencapaian terbaik pasukan itu.

Malah beliau memuji semangat juang tinggi setiap pemain yang diturunkan selepas mampu menewaskan Kuching City FC 3-1 pada aksi terakhir Liga Perdana di di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), semalam untuk menempah slot saingan piala berprestij.

Kemenangan ini saya hadiahkan kepada Datuk Che Abdullah (Mat Nawi) selaku presiden kelab dan Datuk Zamri (Ismail) selaku timbalan presiden malah semua pemain dan pengurusan yang bertungkus lumus bagi memastikan Kelantan United FC layak ke Piala Malaysia.

“Sebelum turun beraksi menentang Kuching City, saya berpesan kepada pemain supaya tidak terlalu memikirkan untuk layak ke Piala Malaysia, sebaliknya memfokus untuk meraih tiga mata dan saya juga menasihatkan pemain berusaha kerana rezeki tidak ke mana,” katanya.

Pada aksi terakhir liga, Kelantan United FC berjaya mencipta jaringan pada minit ke-18 hasil bola rembatan Shafizi Iqmal Md Khirudin disusuli gol pada minit ke-21 oleh Alfusainey Gassama.

Kuching City FC merapatkan jurang gol pada minit ke-45 menerusi sepakan penalti Michael Ijiezie namun gol jaringan Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi memastikan skuad Kijang Hijau layak ke Piala Malaysia.

Mengulas mengenai saingan piala berprestij, Nazrulerwan berkata, aksi pertama menentang Kedah Darul Aman FC di gelanggang lawan Isnin ini bakal beri cabaran baharu buat barisan pemainnya tatkala skuad Lang Merah yang menamatkan saingan Liga Super selaku naib juara memiliki reputasi tinggi.

Bukan sahaja Kedah malah Melaka juga berada di tahap yang lebih baik tapi itu bukan alasan bagi kami mudah menyerah sebaliknya akan beri persembahan terbaik untuk buktikan kami juga dibarisi pemain yang mampu beri saingan.

sumber:- HM

“Walaupun kami tidak dapat rehat yang mencukupi tapi apakan daya itu yang kami terpaksa tempuhi dan pemain harus bersedia tatkala kami ada 28 pemain malah saya akan menggilirkan pemain supaya mereka mampu bersedia dari aspek mental dan fizikal,” kata Nazrulerwan.