Kelantan United FC menempah slot terakhir saingan Piala Malaysia musim ini selepas menewaskan Kuching City FC 3-1 pada aksi tertunda Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), di sini, sebentar tadi.

Kejayaan itu meletakkan skuad kendalian Nazrulerwan Makmor beraksi dalam Kumpulan C bersama Kedah Darul Aman FC, Melaka United FC dan juara Liga Perdana, Negeri Sembilan FC (NSFC) serta dalam masa sama mengetepikan pencabar terdekat, PDRM FC dengan kelebihan jaringan.

Pada perlawanan terakhir liga, skuad Kijang Hijau yang dahagakan kemenangan untuk mara, terlepas peluang sulung mencipta jaringan pada minit ke-18 selepas hantaran lintang Ariusdius Jais gagal disudahkan Alfusainey Gassama.

Selang seminit kemudian, anak didik Nazrulehwan berjaya memecah kebuntuan selepas gerakan Shafizi Iqmal Md Khirudin yang memberanikan diri masuk ke dalam kotak penalti sebelum merembat kencang menewaskan penjaga gol, Mohd Iqbal Suhimi.

Ketika aksi memasuki minit ke-21, pasukan pelawat menambah jaringan hasil bola sepakan lintang Amirul Syafik Che Soh yang tepat ke arah Gassama, sebelum dia merembat menewaskan Mohd Iqbal untuk kedudukan 2-0.

Namun pasukan tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil, G Ponggiannan pada minit ke-27 selepas Evan Wensley mengasari Zainuddin Bohri di dalam kotak penalti. Michael Ijiezie menyempurnakan sepakan itu menewaskan penjaga gol, Muhamad Fikri Che Soh.

Pada minit akhir babak pertama, Kelantan United kembali berkedudukan selesa 3-1 selepas sepakan percuma kapten pasukan, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi dari jarak 25 meter tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Mohd Iqbal.

Bersambung babak kedua, Kelantan United tampak menggandakan asakan dalam usaha menambah jaringan tapi peluang pada minit ke-62 hasil sepakan percuma Fakhrul Zaman, gagal ditanduk kemas Yuki Tanigawa.

sumber:- BH

Kuching City FC yang ketinggalan berusaha memburu gol bagi merapatkan jurang, gol namun benteng pasukan pelawat kekal kukuh untuk mengekalkan kedudukan 3-1 sehingga tamat perlawanan.