Sukan

JDT mungkin akan buat pusingan ‘U’

Adakah Johor Darul Ta’zim (JDT) akan membuat pusingan ‘U’ dalam mendapatkan Radamel Falcao? Itu teka-teki yang berlegar dikalangan peminat bola negara khususnya penyokong setia Harimau Selatan selepas pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkongsi gambar perbualan dengan striker antarabangsa Colombia itu.

Perkongsian di laman Story Instagram Tunku Ismail itu mengundang rasa keterujaan penyokong yang mahu melihat kelibat bekas ayam tambatan Manchester United dan Chelsea itu beraksi di Liga Malaysia (Liga M) bersama JDT.

Jika benar Falcao memilih juara Liga Super lapan kali berturut-turut itu sebagai destinasi berikutnya, sudah pasti peminat harus menunggu sehingga awal musim depan di mana jendela perpindahan antarabangsa kedua bakal dibuka pada Januari depan.

Ketika ini, pemain terbaik Piala Super UEFA 2012 dan penjaring terbanyak Liga Europa sebanyak dua kali dari 2011 dan 2012 itu sudah menyertai kelab La Liga, Rayo Vallecano pada awal bulan ini dan JDT kemungkinan harus menebus kontrak bintang dunia itu untuk membawanya ke Stadium Sultan Ibrahim pada musim depan.

Begitupun tidak dapat dipastikan tujuan sebenar panggilan itu dilakukan oleh Tunku Ismail yang mungkin ia sekadar perbualan santai bersama Falcao sahaja.

Namun sudah tentu ia tidak akan dapat mengelak dari spekulasi untuk cubaan memancing pemain berstatus Marquee itu untuk memperkuatkan JDT.

Sebelum ini, khabar angin sama pernah dinafikan Pengarah Sukan JDT, Martin Prest pada Ogos lalu yang mengakui agak sukar untuk membawa masuk Falcao ketika sumber kewangan pasukan masih lagi tidak mengizinkan.

JDT tidak berada pada kedudukan kewangan yang kukuh untuk menandatangani pemain ‘marquee’ antarabangsa disebabkan pand3mik C0vid-19.

“Kami percaya bahawa kedudukan kewangan kelab akan berada pada tahap lebih baik dalam masa satu hingga dua tahun untuk mendapatkan pemain-pemain sedemikian,” kata Martin Prest sebelum ini.

Berdasarkan prestasi semasa Falcao dengan Rayo Vallecano ketika ini, sentuhan pemain berusia 35 tahun itu tampak masih berbisa apabila berjaya meledak dua gol dalam dua penampilan bersama kelab barunya itu awal bulan ini.

Lantas jika benar dia beraksi buat JDT musim depan, sudah pasti jentera serangan skuad Harimau Selatan akan bertambah mantap terutamanya untuk mengharungi Liga Juara-Juara Asia.