Sukan

Jadi Bahan Pertikaian

Hadiah kemenangan yang diterima pasukan Liga Malaysia (Liga M) menjadi bahan pertikaian selepas ada yang menganggap ia satu jumlah yang kecil.

Musim ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) menerima RM1 juta selaku juara Liga Super dan juara Liga Perdana, Negeri Sembilan pula meraih RM300,000. Jika dibandingkan dengan nilai hadiah wang tunai dalam kalangan liga utama di Asia Tenggara, jumlah itu bukanlah antara ‘habuan’ terkecil.

Ia kerana hadiah kemenangan di liga di negara lain dalam rantau ini juga boleh dianggap hampir sama, malah ada yang menerima jumlah lebih kecil selepas merangkul kejuaraan.

Difahamkan juara Liga 1 Thailand menerima 10 juta Baht atau kira-kira RM1.2 juta, manakala pemenang Liga 1 Vietnam tahun lalu menerima 3 bilion Dong (RM552,559).

Sementara itu, juara Liga Perdana Singapura (SPL) tahun lalu menerima hadiah wang tunai SGD150,000 (RM464,836) dan juara Liga Kebangsaan Myanmar pula hanya menerima 100 juta Kyats atau RM225,153.

Liga Kemboja pula menawarkan hadiah kemenangan lebih kecil dengan juara hanya akan menerima 150 juta Riels atau kira-kira RM154,000.

Jumlah itu semua adalah membabitkan nilai hadiah kemenangan bagi liga utama di negara masing-masing dan kemungkinan hadiah kemenangan lebih kecil ditawarkan kepada liga kedua mereka atau liga lebih bawah.

sumber:- BH

Justeru, nilai hadiah kemenangan Liga M mungkin boleh dianggap kecil, namun ia juga boleh dikatakan antara tertinggi dalam kalangan liga di Asia Tenggara.