Terengganu FC II (TFC II) gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila tumpas 0-1 kepada Kelantan United FC (KUFC) dalam aksi terakhir Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, malam tadi.

Biarpun tewas, skuad kendalian Badrul Afzan Razali tetap berjaya menamatkan saingan liga di tempat ketiga berbanding kedua musim lalu.

Dalam masa sama, striker utama skuad itu, Jordan Mintah muncul pemenang bersama Kasut Emas dengan striker Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Fernando Rodriguez apabila mereka masing-masing mel3dak 16 gol.

Pada perlawanan malam tadi, KUFC selaku tuan rumah terlebih dahulu menguji kubu pelawat menerusi rembatan kapten, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi pada minit kelapan, namun terkena pertahanan skuad TFC II.

Skuad The Turtles hampir lebih dulu di depan menerusi sepakan percuma Mintah pada minit ke-11, tapi terkena tiang gol sebelah kanan.

Pada minit ke-19, berpunca sepakan penjuru Mohamad Amirul Shafik Che Soh, pemain pertahanan, Mohd Hakim Ismail berjaya meledak gol pendahuluan susulan suasana kelam kabut dalam kawasan kotak penalti.

Tersentak jaringan itu, skuad The Turtles yang lebih banyak mendominasi permainan menggandakan asakan untuk memburu gol namun buntu. Dua peluang terbaik yang diperolehi masing-masing menerusi tandukan Mintah pada minit ke-24 dan Che Mohd Arif Che Kamaruddin minit ke-37.

Bersambung babak kedua, skuad The Turtles mendapat empat peluang keemasan pada minit ke-51 menerusi Masaki Watanabe dan Mintah pada minit ke-57, 58 dan 67, namun masih buntu menembusi pintu gol tuan rumah. Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan.