Sukan

Tidak sangka dapat bawa kejayaan Negeri Sembilan FC

Tonggak pertahanan Negeri Sembilan FC, Nasrullah Hanif Johan tidak menyangka kepulangan tahun pertama bersama pasukan negeri kelahirannya sejak memulakan karier profesional, 10 tahun lalu berjaya membantu mereka naik ke Liga Super pada musim 2022.

Kini peluang terbuka sekali lagi buat Nasrullah untuk memahatkan jalan cerita yang lebih manis pada tahun pertamanya bersama Negeri Sembilan dengan meraih trofi sulung buat dirinya bersama pasukan.

Menurut pemain yang berasal dari Sikamat, Seremban ini, dia mahu sekurang-kurangnya satu kejuaraan dapat didakap bersama negeri kelahirannya yang boleh dijadikan kenangan jika bersara dari dunia bola sepak, satu hari nanti.

Saya gembira akhirnya meraih peluang berbakti kepada pasukan negeri kelahiran sendiri pada musim ini dan berjaya membawa semula ke Liga Super untuk musim depan selepas beberapa musim di Liga Perdana.

Sekarang peluang terbuka luas untuk kami meraih trofi buat Negeri Sembilan, jadi saya tidak mahu sia-sia kesempatan yang terhidang ini dan alang-alang biarlah kami berjaya muncul juara Liga Perdana.

“Sekurang-kurangnya adalah satu memori untuk diingati bersama pasukan negeri kelahiran yang juga tempat saya dibesarkan setelah lebih 10 tahun saya berkecimpung dalam dunia bola sepak profesional, ” katanya.

Nasrullah sebelum ini mencipta nama ketika bersama Terengganu FC pada 2017 hingga 2021 dan menjadi sebahagian daripada skuad yang mara ke final Piala Malaysia 2018.

Dikenali sebagai seorang pertahanan berpengalaman, Nasrullah yang berusia 31 tahun menjadi tunjang kekuatan di benteng Negeri Sembilan musim ini bersama Annas Rahmat dan Arthur Cunha yang membentuk rangkaian tiga pertahanan tengah.

Dalam pada itu, Nasrullah mengakui tekanan sememangnya dirasai oleh semua pemain tambahan tuntutan meraih tiga mata begitu tinggi dalam kalangan pengurusan dan peminat yang mengharapkan Negeri Sembilan tidak kecewa pada hari terakhir persaingan Liga Perdana.

Namun, dia menegaskan ketua jurulatih, K. Devan tidak mahu membebankan pemain-pemain dengan hanya mengharapkan mereka tampil seperti biasa tanpa terlalu memikirkan mengenai kejuaraan Liga Perdana sepanjang perlawanan.

“Kami sendiri tidak menjangka pada awalnya akan lalui situasi sebegini selepas tewas dengan Kelantan dan kelebihan nyata milik Sarawak United pada masa itu.

“Namun kekalahan Sarawak United kepada Kuching City membuka ruang kepada kami dan tidak sangka selepas berhempas pulas, kami berjaya tewaskan mereka.

sumber:- HM

“Sekarang tekanan memang sangat dirasai bagi bertemu PDRM tetapi jurulatih tidak mahu terlalu menekan kami mengenai kejuaraan sebaliknya persediaan kami seperti biasa,” katanya.