Sukan

Selangor FC tempah slot suku akhir Piala Malaysia

Selangor FC menyasarkan untuk melepasi peringkat kumpulan dan mahu menempah slot ke suku akhir terlebih dulu sebelum memikirkan langkah seterusnya dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

Skuad Red Giants yang diletakkan dalam Kumpulan B bersama dua lagi bekas juara Piala Malaysia iaitu Terengganu FC dan Perak FC selain pasukan di tangga ke Liga Perdana dianggap pemerhati bola sepak sebagai kumpulan ‘mavt’.

Begitupun jika prestasi semasa dalam saingan Liga Super musim ini diambil kira, Selangor dan Terengganu dilihat tidak berdepan masalah untuk melepasi halangan awal itu sekalipun bakal dicabar hebat skuad The Bos Gaurus dan pasukan dari Liga Perdana.

Jelas pengendali Selangor, Karsten Neitzel, beliau mahu pemainnya menghormati setiap lawan dalam kumpulan itu dan berusaha memburu tiket ke pusingan kalah mati.

“Kami tidak memandang rendah pasukan lain dan kami memerlukan persiapan serius menjelang Piala Malaysia. Kami mahukan kempen Piala Malaysia yang baik dan langkah pertama adalah layak ke suku akhir,” katanya yang berasal dari Jerman.

Berdasarkan pencapaian dalam saingan Liga Super musim ini, bekas juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali itu cukup baik apabila menamatkan kempen di tangga kelima liga.

Skuad Penyu yang pernah menjuarai trofi tertua itu pada 2001 adalah pencabar terkuat Selangor dalam kumpulan terbabit di mana anak buah Nafuzi Zain itu sudah pastinya mahu menebus kedukaan di Liga Super apabila menamatkan kedudukan di tangga keempat liga.

Tidak boleh diketepikan tentangan pasukan Perak yang juga bekas juara Piala Malaysia sebanyak lapan kali ini mampu mencipta kejutan seandainya dipandang enteng oleh pesaing lain, sementara PDRM FC dan Kelantan FC kemungkinan bakal calon untuk melengkapkan kumpulan itu dari Liga Perdana.

sumber : HM

Sepak mula Piala Malaysia dijadual pada 25 September ini dan dijangka berakhir pada 30 November dengan aksi final akan diadakan di venue berkecuali.