Sukan

Akan kemuka Rayuan

Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak rayuan mereka berhubung insiden ketika bertemu Kelantan FC di Kota Bahru pada 27 Ogos lalu.

Presiden PBNS yang juga Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, berkata pihaknya tidak berpuas hati dengan keputusan MFL itu dan mahu mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Kita tidak berapa puas hati terhadap keputusan MFL menolak rayuan kerana Kelantan FC sudah dikenakan penalti (denda). Kita (NSFC) kesal dengan keputusan itu dan merancang membuat rayuan kepada FAM,” katanya selepas selepas majlis makan malam sempena kejayaan Negeri Sembilan FC (NSFC) layak ke Liga Super 2022 di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Hadir sama Menteri Besar merangkap Penasihat PBNS, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Timbalan Presiden PBNS, Datuk Dr Razali Ab Malek.

NSFC semalam menerima keputusan rayuan daripada Ahli Lembaga Pengarah MFL berhubung insiden ketika bertemu Kelantan FC di Stadium Sultan Mohammad IV, Kota Bahru pada 27 Ogos lalu

Surat rayuan PBNS itu dihantar pada 9 September lalu. MFL menjelaskan rayuan ditolak kerana peraturan Kod Tatatertib FIFA yang dirujuk oleh NSFC adalah di luar bidang kuasa MFL.

Mengikut laporan sebelum ini, Kelantan FC didapati melakukan empat sesi pertukaran dengan membabitkan lima pemain ketika perlawanan, berbanding hanya tiga sesi dibenarkan mengikut peraturan sehingga memberi impak kepada keputusan aksi terbabit.

Susulan itu, NSFC melakukan bantahan pada 30 Ogos kepada MFL dan menerima keputusannya pada 4 September. Ia menyaksikan Kelantan FC didenda sebanyak RM30,000 selain amaran keras manakala tindakan turut diambil terhadap komisioner serta pegawai perlawanan.

Dalam masa sama, MFL turut mengekalkan kemenangan 2-1 Kelantan FC dalam perlawanan itu sekali gus menyaksikan tiga mata tetap menjadi milik skuad The Red Warriors.