Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan kos membuat padang baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak sampai RM10 juta.
Sebaliknya, beliau berkata kos RM10 juta itu sebenarnya termasuk bagi baik pulih atau penambahbaikan padang stadium di seluruh negara.
Perkara itu dijelaskan Ahmad Faizal bagi menjawab pertanyaan media susulan kenyataan Tunku Mahkota Johor (TMJ) merangkap pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mempersoalkan jumlah kos yang begitu tinggi bagi membuat padang baharu di SNBJ.
Benar saya ada mengadakan perjumpaan dan berbicara tentang beberapa perkara dengan Tunku Mahkota Johor termasuk untuk memperbaiki padang-padang bola sepak di seluruh negara, bukan saja di Bukit Jalil.
Saya kira ada kemungkinan sembah saya mungkin tidak begitu tepat tetapi perkara yang dibincangkan adalah untuk padang-padang di seluruh negara, bukan hanya satu padang di Stadium Nasional.
“Perkara itu sering diingatkan Tunku Mahkota Johor kepada saya, malah selepas perbincangan itu sering diperingatkan kepada saya untuk memberi fokus kepada menaik taraf padang bola sepak di stadium seluruh Malaysia,” kata Ahmad Faizal selepas mengadakan kunjungan ke Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.
Terdahulu, Tunku Ismail mempersoalkan kos sebanyak RM10 juta diperlukan untuk membuat padang baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Ini kerana beliau menjelaskan hanya memerlukan RM1.4 juta untuk membuat padang menggunakan rumput jenis Zoysia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang lengkap dengan sistem perpaipan, perparitan tanah dan pelbagai lagi.
sumber:- BH
“Saya berbual dengan Menteri KBS baru-baru ini dan tanya berapa kos saya buat padang. Dia terperanjat apabila saya cerita kos padang kerana dia dapat tawaran buat padang baharu di Bukit Jalil yang sama seperti ini, RM10 juta. Banyak sangat orang nak ‘mark up.’,” kata Tunku Ismail menerusi rancangan Bola@Mamak, malam tadi.