Sukan

Punca Kelantan FC tersembam di laman sendiri

Perubahan di bahagian pertahanan dan s3rangan dirumuskan menyumbang kepada kekalahan 0-3 Kelantan FC di tangan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, petang semalam.

Penolong ketua jurulatih pasukan, Rezal Zambery Yahya berkata, perubahan itu dibuat di saat akhir berikutan ketiadaan dua tonggak utama, Mario Arques dan Syed Sobri Syed Mohamad sekali gus terpaksa meletakkan pemain lain.

Kita kena akui bahawa ketiadaan beberapa pemain memang merencatkan permainan petang ini (semalam), ia tidak berapa menjadi tapi ada juga kita dapat peluang yang boleh dijaringkan gol.

Apa pun pemain sudah berusaha bersungguh-sungguh kerana perkara ini berlaku di saat-saat akhir (tidak dapat diturunkan) dan itu yang menyebabkan struktur kita memang terganggu,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu semalam.

Dalam perlawanan itu, gol pelawat dijaringkan oleh Mohamad Fadhli Mohd Shas pada minit ke-11, diikuti Fernando Rodriguez dua minit selepas itu dan Kei Hirose minit pada ke-55.

Mengakui jaringan gol kedua dalam tempoh dua minit sebagai kesilapan sendiri, Rezal berkata, sebelum perlawanan beliau sudah mengingatkan pemain agar tidak melakukan kesilapan mudah seperti itu sekali gus membuka ruang luas kepada pasukan JDT II memanfaatkan peluang.

“Kita tahu pemain JDT II jika mempunyai peluang, sudah pasti mereka tak akan lepaskan. Jadi, kita dihukum kerana kesilapan sendiri,” katanya.

Rezal bagaimanapun optimis The Red Warriors (TRW) dapat beraksi dalam saingan Piala Malaysia dan mereka perlu membenam Selangor II pada aksi terakhir 21 September ini.

“Kita harap dapat menurunkan barisan terbaik pada aksi terakhir itu,” katanya.