Sukan

Melaka United FC ada kejutan

Melaka United FC (MUFC) bakal tampil dengan sentuhan berbeza bagi saingan Liga Super musim depan selepas menjamin tempat untuk saingan liga kompetitif terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif MUFC, Datuk Wira Justin Lim Hwa Tat berkata, pihaknya sedang merangka persiapan rapi menerusi beberapa perancangan untuk skuad terbabit lebih berdaya saing.

Katanya, misi pertama dengan menampilkan kejutan dalam saingan Piala Malaysia musim ini selepas menyedari pasukan itu gagal menjadi pencabar kejuaraan dalam saingan bola sepak domestik dengan kali terakhir muncul juara Liga Perdana 2016.

Menurutnya, sudah tiba masanya untuk kemunculan semula skuad Hang Tuah yang lebih berdaya saing dan kompetitif untuk melakar kejayaan lebih gemilang.

Saya percaya pasukan ini mampu mendapatkan tempat terbaik dalam Liga Super (musim depan) serta memberikan saingan dan mendapat keputusan positif di Piala Malaysia kali ini.

“Sehubungan itu, bagi mengelakkan skrip sama berulang, MUFC bakal melakukan beberapa penambahbaikan untuk memacu kelab itu ke satu tahap yang lebih baik di pentas Liga 2022,” katanya.

Beliau berkata, antara yang akan dilakukan termasuk menyenaraikan pemain import dan tempatan yang berkualiti di setiap posisi.

Dalam masa sama, pihaknya juga berhasrat mengeluarkan sejumlah peruntukan khusus bagi menaik taraf peralatan dan fasiliti latihan.

Justin berkata, MUFC juga sedang mengadakan perbincangan bersama rakan kerjasama serta pelabur berpotensi yang ingin bersama-sama memajukan kelab berkenaan.