Sukan

Tindakan Safawi dan Akhyar buat netizen tersentuh

Pemain bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid menunjukan sisi kebaikan mereka dengan membantu seorang penjual barangan bundle meningkatkan jualannya.

Penjual berkenaan, Shahirul Akmal yang sering melakukan jualan secara langsung di platform Instagram, tidak pernah menjangkakan Safawi dan Akhyar sudi memasuki sesi siaran langsungnya itu sekali gus membantu meningkatkan jualannya.

Kemasukan Akhyar dan Safawi menjadikan jumlah tontonan daripada 50 orang menjadi lebih daripada 3,000 tontonan seperti dilaporkan portal makanbola.

Safawi adalah pemain terawal menyertai siaran langsung itu sebelum diikuti Akhyar serta seorang lagi pemain negara, Hadi Fayyadh sekali gus menarik minat lebih ramai jumlah tontotan ke halaman penjual dari Batu Pahat itu.

Lebih menarik, Safawi memberi sebanyak RM500 untuk memborong baju dari Shahirul selain membeli enam helai hoodie untuk diberikan secara rambang kepada mana-mana penonton yang menyertai sesi siaran langsung itu.

Sesi itu bertambah menarik apabila beberapa rakan sepasukan lain seperti Syazwan Andik dan Shahrul Saad turut serta selain rakan-rakan artis seperti Fad Bocey.

Rata-rata netizen yang menonton tersentuh dengan kebaikan yang dipamerkan pemain bola sepak profesional itu dan ia wajar dipuji.

Mereka juga berharap sikap pemain profesional negara itu harus dijadikan contoh dalam usaha membantu orang ramai ketika tempoh sukar ini.