Sukan

Saham Fikhri melonjak

Pemain muda Kedah Darul Aman FC, (KDA FC) Mohamad Fikhri Zulkiflee kini menjadi perhatian selepas membuat penampilan pertama ketika men3ntang UiTM FC, Rabu lalu apabila hanya mengambil masa kurang dari seminit untuk menjaringkan gol kebangkitan buat skuadnya.

Pada aksi berkesudahan dengan keputusan seri 3-3 di Stadium Darul Aman itu, Fikhri berjaya meledak satu gol melalui tandukan minit ke-74 selepas masuk menggantikan pemain tengah, Syazwan Zainon minit ke-73 sekali gus memberi sinar kebangkitan buat skuad kendalian Aidil Sharin Sahak yang ketinggalan dua gol ketika itu.

KDA FC menerusi lama rasminya memberikan kata-kata perangsang buat pemain muda dari skuad Piala Presiden Kedah itu bagi meneruskan aksi terbaiknya di masa akan datang.

Pemain yang berasal dari Kulim ini (Fikhri Zulkiflee) hanya mengambil masa 44 saat untuk menjaringkan gol selepas masuk menggantikan pemain tengah Syazwan Zainon.

“Pemain tinggi lampai ini berada di posisi yang tepat untuk menanduk masuk bola hantaran lintang pemain gantian Fandi Othman bagi menghasilkan gol kedua buat KDA FC,” katanya.

 

Sementara itu Ketua Jurulatih KDA FC Aidil Sharin Sahak melalui sidang media selepas tamat perlawanan turut memuji tahap keyakinan yang ditampilkan pemain mudanya itu dalam misi membantu pasukan bangkit mencari gol.

Sebelum ini kami memilih penyerang Afeeq Iqmal pada aksi menentang KL City di tempat lawan (Kuala Lumpur) dan pada kali ini giliran Fikhri pula yang diberi peranan di Stadium Darul Aman.

Kemasukan striker muda ini juga menampakkan beliau mengambil peluang yang ada dengan jaringan gol dan saya lihat dia menggunakan peluang terbaik itu untuk bersedia pada masa depan.

“Masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai pemain muda dalam pasukan, namun dengan memberi peluang beraksi, dia melakukan tugas yang baik untuk pasukan,” katanya.