Sukan

Luqman Hakim bantu KV Kortrijk catat kemenangan

Striker s3nsasi negara, Luqman Hakim Shamsudin terus menimba ilmu berharga di Eropah apabila terbaru beraksi bersama skuad bawah 21 tahun KV Kortrijk (KVK) semalam.

Pemain skuad Harimau Malaya itu yang memakai jersi bernombor sembilan, berjaya membantu pasukannya melakar kemenangan 1-0 ke atas Royal Antwerp pada pusingan pertama Piala Belgium.

Gol tunggal KVK dijaringkan oleh Tsotne Bendianishvili menerusi sepakan penalti minit ke-87 namun Luqman juga memainkan penting di sebalik kemenangan itu.

Menerusi hantaran di media sosial rasmi KV Kortrijk, Luqman bersama rakan sepasukannya dilihat meraikan kejayaan mereka.

Meskipun tidak beraksi dalam skuad utama, ia masih lagi perkembangan yang positif untuk Luqman kerana dapat terus mengumpul minit permainan.

Malah sebelum ini pun pemain kelahiran Kelantan itu sering memanfaatkan peluang yang diberikan termasuklah ketika aksi pramusim Julai lalu.

Ketika itu, dia beraksi selama 25 minit ketika berdepan KSV Oudenaarde yang menyaksikan KV Kortrijk mencatat kemenangan 6-1 di tempat lawan

Dengan perkembangan positif Luqman ketika ini, tidak mustahil aksinya akan bertambah matang dan mampu muncul antara striker harapan KVK selain skuad Harimau Malaya dalam aksi antarabangsa selepas ini.

Luqman masih belum berpeluang diturunkan pada musim baharu Liga Belgium.