Sukan

Nafuzi Sedia Terima Tindakan

Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain yang kini berada dalam keadaan bahaya berhubung prestasi semasa pasukan, bersedia menerima apa jua keputusan daripada pihak pengurusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd.

Katanya, beliau bertanggungjawab atas tiga kekalahan berturut-turut skuad Penyu itu termasuk tewas tipis 1-0 kepada juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi kedua terakhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.

Kata jurulatih kelahiran Kelantan itu, kini terpulang kepada pihak pengurusan lebih-lebih lagi selepas beliau menerima surat tunjuk sebab petang Jumaat lalu berhubung prestasi pasukan yang sebelum itu tewas dalam dua aksi berturut-turut kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 2-1 dan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 1-0.

Bagaimanapun Nafuzi berkata, tekanan bagi seseorang jurulatih berhubung perkara itu adalah normal lebih-lebih lagi beliau sudah ada pengalaman pada tahun sebelum ini.

Selepas latihan petang kelmarin (Jumaat) sebelum pertemuan dengan JDT, saya menerima surat tunjuk sebab yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TFC Sdn Bhd, tapi bagi saya itu adalah normal untuk saya yang mengalami dua kekalahan berturut-turut sebelum itu.

Namun tidak dinafikan keputusan itu memang mengecewakan semua, tapi bagi saya kita bersaing di kelompok atasan liga dan bukannya dalam zon penyingkiran, yang penting sekarang adalah suntikan moral yang boleh meningkatkan lagi motivasi pemain.

Tapi saya menerima apa-apa keputusan daripada pihak pengurusan atas kekalahan ketiga berturut-turut, bagi saya tiada masalah kerana yang penting adalah pemain gembira dengan saya.

Namun selepas menerima surat itu mungkin tekanan kepada saya tapi saya tidak memberi tekanan kepada pemain walaupun mereka tahu perkara ini, malah pemain beraksi dalam keadaan tanpa tekanan malam ini (malam tadi).

“Surat tunjuk sebab itu adalah tanggungjawab saya, kekalahan mungkin kelemahan saya sebagai jurulatih,” katanya selepas tamat perlawanan men3ntang JDT malam tadi.

Mengulas perlawanan itu, beliau mengakui JDT berada pada kelasnya yang tersendiri dan sukar buat anak buahnya untuk mengulangi kejayaan mencalar ego skuad Harimau Selatan sebagaimana aksi pusingan pertama.