Sukan

Silakan Berundur

Penyokong Perak FC nyata berang dan bengang dengan apa yang menimpa skuad The Bos Gaurus itu selepas disahkan tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

Lantas, rata-rata penyokong mendesak agar semua individu dalam Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) serta Perak FC bertanggungjawab dengan melepaskan jawatan secara terhormat bagi membolehkan revolusi terhadap pasukan itu dijalankan serta merta.

Jelas pengerusi kelab penyokong Perak Giant Flag, Ruzaimi Abu, dia mahu perubahan itu dilakukan segera bagi memberi laluan kepada pembentukan pasukan baharu untuk musim depan.

Katanya, ia harus digerakkan secepat mungkin untuk barisan kepimpinan baharu melaksanakan strategi perubahan dengan meletakkan sasaran kembali menempah slot ke Liga Super pada musim 2023.

Mereka semua perlu bertanggungjawab tidak kira dalam Pafa mahupun Perak FC. Malah dari apa yang kita tahu, Perak FC pun sebenarnya masih milik Pafa jadi lepaskan jawatan demi kebaikan pasukan.

Exco yang ada dalam Pafa semuanya tak berfungsi dan takut-takut untuk melakukan perubahan atau menegur pihak atasan dalam Perak FC. Kalau begitu tak payah lah duduk dalam Pafa lagi, keluarlah kerana mereka nampaknya tak boleh buat kerja.

Kita bagi pada individu lain yang berminat untuk bawa kembali pasukan Perak ke tahap sebenar. Kita dah penat sebenarnya, dah banyak kali cakap tetapi pihak pengurusan langsung tak ambik endah.

Akhirnya pasukan dan pemain jadi mangsa. Ini semua silap pengurusan dan bukannya pemain yang sudah beri sepenuhnya di atas padang, katanya kepada Arena Metro.

Kemerosotan pasukan Perak bermula dengan isu dalaman membabitkan tunggakan gaji yang gagal dijelaskan pihak pengurusan hingga menyebabkan beberapa pemain utama mengangkat kaki pada jendela perpindahan kedua Mei lalu.

Bertitik tolak dengan masalah gaji serta penghijrahan beramai-ramai, ia menyebabkan pasukan terbabit gagal bersaing dan akhirnya terperosok di dasar liga.

sumber:- HM

Kekalahan 1-2 di tangan Melaka United malam tadi, menyaksikan Perak FC sah tersingkir ke divisyen dua buat pertama kalinya dalam sejarah pasukan itu dengan hanya mampu mengutip 13 mata daripada 21 aksi liga setakat ini.