Sukan

Rekod Kebal KL City ganggu perjalanan Kedah

Kuala Lumpur City FC (KL City) ternyata cukup kebal di gelanggang sendiri musim ini apabila berjaya menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 2-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan anak didik Bojan Hodak muncul pasukan pertama yang berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah di halaman sendiri sepanjang musim ini.

Namun kekalahan ini pula sedikit mengganggu rentak KDA yang hanya memerlukan lima mata lagi bagi menengesahkan kedudukan selaku naib juara Liga Super musim ini di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang lebih awal mengesahkan kejuaraan kali kelapan berturut-turut.

Begitupun, skuad Helang Merah masih berbaki dua aksi berbanding pencabar lain yang hanya memiliki satu lagi perlawanan dalam tangan.

KL City terlebih dulu mendahului menerusi sepakan penalti Romel Morales pada minit keenam untuk mengejutkan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak.

Pelawat terus tertekan pada minit ke-26 apabila bekas striker kebangsaan, Safee Sali menambah gol kedua buat tuan rumah dan yang pertama untuknya musim ini.

Skuad Helang Merah kembali merapatkan kedudukan menerusi penyerang import, Tchetche Kipre lapan minit kemudian bagi menghidupkan semula peluang pasukan untuk meraih mata di tempat lawan.

Memasuki babak kedua, aksi bertambah rancak dengan masing-masing sering berbalas serangan terutamanya KDA yang memerlukan gol penyamaan untuk mengikat kedudukan.

sumber: HM

Bagaimanapun, benteng skuad Warga Kota cukup kebal dan kelebihan 2-1 itu kekal hingga wisel penamat