Sukan

Dion Cools mahukan penyokong Malaysia

Beraksi di depan ribuan penyokong skuad Harimau Malaya sentiasa menjadi impian pemain kacukan negara, Dion Cools yang mengakui aura penyokong tempatan cukup luar biasa.

Cools, 25, yang bermain dengan kelab Denmark, FC Midtjylland sudah membuat tiga penampilan bersama skuad Harimau Malaya dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun lalu.

Walaupun Malaysia gagal meneruskan misi ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia itu, namun kehadiran tonggak pertahanan yang cukup berpengalaman di pentas Eropah itu diyakini mampu mengukuhkan benteng negara apabila beraksi di peringkat terakhir kelayakan Piala Asia pada Februari tahun depan.

Jelasnya, adalah satu kebangsaan dan penghormatan apabila dapat menyarung jersi negara di pentas antarabangsa.

“Dihormati, bangga dan sangat gembira (dapat bermain untuk skuad kebangsaan). Saya tidak sabar untuk bermain di stadium penuh di Malaysia tidak lama lagi,” katanya di laman sosial miliknya.

Sokongan padu penyokong setiap kali skuad kebangsaan beraksi di halaman sendiri terutamanya di Stadium Nasional Bukit Jalil tidak boleh dipertikaikan lagi apabila kehadiran hampir 90,000 penyokong pasti membangkitkan suasana gamat sepanjang perlawanan.

Dalam sesi soal jawab bersama peminat di laman sosial itu lagi, Cools turut berkongsi empat perkara yang sering dilakukan sebelum masuk ke padang.

“Dengar muzik yang sama, balut ibu jari tangan dan jari kelingking dengan pita, lompat guna kaki kanan sebanyak dua kali untuk masuk ke padang dan saya selalu pakai stokin tarik hingga ke paras lutut,” tulisnya.

Untuk rekod, pemain kelahiran Kuching, Sarawak itu pernah beraksi bersama dua kelab di Liga Jupiler Belgium iaitu OH Leuven dan Club Brugge selama lima setengah musim sebelum berhijrah ke FC Midtylland.

sumber: HM

Dia yang beraksi di pertahanan kanan turut mampu bermain di posisi pertahanan tengah sudah beberapa kali bermain di pentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bersama Club Brugge sebelum ini dan turut berdepan kelab besar seperti Manchester United dan Real Madrid.