Sukan

Dek Wan Tepati ramalan

ATLET olahraga para negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menampilkan larian penuh bergaya untuk mengesahkan tempat ke final acara 100 meter lelaki T36 di Temasya Sukan Paralimpik 2020 Tokyo.

Pada saingan yang berlangsung di Stadium Olimpik pada Jumaat, Mohamad Ridzuan atau lebih dikenali sebagai Dek Wan tidak berdepan masalah untuk menyudahkan larian di kedudukan pertama dengan catatan masa 12.06 saat.

Ia sekali gus menyaksikan Mohamad Ridzuan akan menghadapi pusingan akhir pada Sabtu untuk mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Paralimpik Rio pada 2016.

Dia akan diringi oleh atlet dari China, Yang Yifei yang berada dikedudukan kedua dengan catatan masa 12.10 saat dan atlet di tempat ketiga iaitu dari Jawatankuasa Paralimpik Rusia (RPC), Shvetsov Evgenii dengan catatan masa 12.26 saat sekali gus layak melangkah ke akhir.