Sukan

Satu keputusan yang berat tapi perlu

FAM membuat keputusan untuk membatalkan pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia bagi musim 2021 dengan serta-merta.

Ini kali kedua pertandingan tersebut dibatalkan, setelah dibatalkan pada tahun lalu ekoran pand3mik C0VID-19.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa pand3mik C0VID-19, hal-hal pengoperasian serta keselamatan kesemua pemain, pegawai, petugas perlawanan dan individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam penganjuran kedua-dua pertandingan ini.

Keputusan ini juga diambil selaras dengan status penganjuran kedua-dua pertandingan tersebut yang sehingga kini masih belum mendapat ‘lampu hijau’ daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Biarpun kadar kes baharu C0VID-19 di Lembah Klang telah menunjukkan penurunan, kes-kes baharu di negeri lain dilihat meningkat dan masih tidak menentu, sekali gus dijangka tempoh masa yang lebih lama diperlukan untuk melihat jumlah kes berada pada tahap yang rendah untuk dibolehkan kedua-dua pertandingan ini berlangsung.”

Selain itu, katanya, faktor para pemain Piala Presiden dan Piala Belia 2021 yang sudah melengkapkan vaksin masing-masing juga pada tahap yang agak rendah ketika ini yang mana ia akan memberi risiko tinggi terhadap keselamatan dan kesihatan para pemain jika kedua-dua pertandingan ini tetap mahu dilangsungkan pada tahun ini.

Sebagai badan induk bola sepak negara, FAM bukan saja bertanggungjawab untuk pembangunan bola sepak dan penganjuran pertandingan tetapi perlu juga mengambil kira beberapa perkara lain terutama soal keselamatan dan kesihatan pemain yang terlibat dalam lingkungan pemain muda yang berusia di antara 17 tahun hingga 22 tahun.

Pada masa sama, Stuart berkata terdapat beberapa perkara penting di dalam penyediaan SOP dilihat masih belum cukup untuk memberi jaminan pada tahap tertinggi dalam segala aspek penganjuran.

“Ini telah mendorong untuk FAM mengambil keputusan membatalkan kedua-kedua pertandingan ini yang mana ia satu keputusan yang berat tetapi perlu bagi mengelak perkara-perkara yang tidak diingini berlaku terutamanya dari segi keselamatan dan kesihatan pemain.”

Walaupun keputusan itu dibuat demi keselamatan, pembangunan akar umbi bola sepak akan terjejas setelah dua tahun tidak beraksi dan menjadi kerugian kepada pemain Piala Presiden dan Piala Belia yang berkemungkinan tidak bersedia untuk beraksi dalam liga profesional.