Sukan

Terkini, Perak mungkin tidak diturunkan ke Liga Perdana

Adakah benar Perak FC akan terselamat daripada terhumban ke Liga Perdana musim depan?

Itu persoalan yang timbul selepas Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui ada melakukan perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang baharu, Stuart Ramalingam serta Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengenai perkara terbabit baru-baru ini.

Katanya, nasib skuad The Bos Gaurus kemungkinan terselamat jika MFL bersetuju untuk menambah penyertaan dalam saingan Liga Super musim depan daripada 12 kepada 16 pasukan.

Jelasnya, beliau tidak mempunyai kuasa selaku Menteri untuk melakukannya namun hasil perbincangan dengan badan induk bola sepak tempatan itu kemungkinan ia akan dilaksanakan sekali gus menyelamatkan Perak FC.

Ahmad Faizal berkata, perubahan itu didorong oleh saranan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) yang mahu negara saingan liga domestik ditambah penyertaan kepada 16 pasukan dalam semusim.

Nombor satu, KBS (Kementerian Belia dan Sukan) tak ada kuasa nak buat apa-apa, tapi itu terpulang kepada MFL, tapi kita kawan baik dengan MFL. Saya dengan CEO baru MFL Stuart ini pun kawan baik, dengan Datuk Hamidin pun saya boleh cakapkan.

Baru-baru ini kita ada bincang Datuk Hamidin dan Stuart ada pandangan nak naikkan kepada 16 pasukan sebab ini selari dengan apa yang Fifa tetapkan. Selama ini kita tak ikut Fifa dan mungkin dia orang terpaksa buat begitu.

Kalau itu berlaku, selamat lah negeri Perak, kalau tak berlaku kita sakit kepala sikit lah sebab tak pernah berlaku lagi.

“Dan masalahnya, Perak FC II akan turun lagi (dari Liga Perdana ke Liga M3), jadi dah tak boleh berada dalam satu liga jadi itu masalahnya. Jadi kita doakanlah, Insya Allah saya akan cakapkan dengan Datuk Hamidin dan Stuart,” katanya dalam satu video yang tular di media sosial ketika ini.

Ketika ini, pasukan Perak FC antara dua calon untuk turun ke Liga Perdana selepas hanya memungut 13 mata daripada 20 aksi Liga Super musim ini.

Dengan berbaki dua aksi untuk ditamatkan, skuad Kejor Yob Kejor itu tiada pilihan lain apabila wajib memungut enam mata maksimum sambil berharap Sri Pahang (17 mata), Petaling Jaya City (18 mata) dan Melaka United (18 mata) keciciran mata dalam dua aksi itu.

Untuk rekod, Perak FC tidak pernah jatuh ke Liga Perdana atau saingan divisyen dua sejak liga profesional dianjurkan pada awal 90an dan sekiranya berlaku, ia bakal mencatat sejarah terburuk buat pasukan itu.