Sukan

Tidak hanya Melibatkan Terengganu dan Kedah

KETUA jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain mengakui kehangatan semakin dirasai dalam misi perebutan tempat kedua Liga Super tatkala Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin hampir untuk mengesahkan kejuaraan buat kali kelapan berturut-turut.

Terengganu yang kini di tangga kedua hanya dibezakan dua mata sahaja dengan Kedah Darul Aman FC yang kini di kedudukan ketiga sekali gus bakal menjadi persaingan yang cukup sengit untuk perebutan slot ke Piala AFC tahun hadapan.

Namun, bagi Nafuzi, peluang untuk bergelar naib juara Liga Super bukan sahaja perlu tertumpu kepada dua pasukan ini malah, skuad lain seperti Selangor FC dan Penang FC juga tidak boleh dipandang mudah untuk mereka turut sama mengejar kedudukan liga dalam baki perlawanan yang ada.

Bagi saya, perebutan untuk tempat kedua liga bukan hanya membabitkan Terengganu dan Kedah, tetapi Selangor, Penang dan Kuala Lumpur juga perlu diberi perhatian.

“Kalau pasukan saya buat sebarang kesilapan, bila-bila masa sahaja pasukan lawan boleh mengatasi Terengganu dan sebab itu saya katakan kepada pemain untuk anggap setiap perlawanan selepas ini ibarat aksi final yang perlu kita menang.

“Men3ntang Kuala Lumpur pada hari Ahad ini, tidak banyak perubahan yang dilakukan dan saya positif dengan semua pemain yang ada walaupun kita terpaksa terima kehilangan kapten, Carli de Murga,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak tetap dengan pendirian untuk memastikan barisan pemain tidak terlalu memikirkan perebutan kedudukan tempat kedua liga sebaliknya fokus perlawanan demi perlawanan.

Ini bagi mengelakkan mereka daripada rasa tertekan kerana masih ada lima lagi perlawanan yang perlu diberi perhatian dan apa sahaja boleh berlaku sekiranya pemain tidak fokus untuk terus mengumpul mata.

Bakal berdepan Perak FC di Stadium Darul Aman esok, Aidil percaya motivasi skuad Perak ketika ini tidak pernah luntur untuk mereka mencari kemenangan selepas tewas dalam empat perlawanan terdahulu.

Kalau nak bercakap pasal kedudukan, setiap kali berkumpul dengan pemain-pemain, saya akan selalu sampaikan bahawa mentaliti kita tetap sama untuk fokus satu demi satu perlawanan, dan jangan fikirkan benda lain yang boleh bagi tekanan.

“Daripada kita nak kena fikir dua, tiga benda untuk merebut kedudukan kedua, baik kita fokus satu benda terlebih dahulu iaitu menang satu demi satu perlawanan, seterusnya baru boleh nampak keputusan di depan mata.

“Untuk aksi pada malam esok, saya boleh katakan Perak ketika ini begitu dahagakan kemenangan, jadi itu yang akan membahayakan kita dan kita tidak boleh ambil mudah”, jelasnya.